Please also visit my new blog in shenyeeaun.disagrees.net
Wawasan generasi bestari (DATUK NORAINI AHMAD KETUA)
UCAPAN DASAR DATUK NORAINI AHMAD KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA PADA 14 NOVEMBER, 2006
Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha pengasih
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Puan Pengerusi Tetap, Puan Rohani Abu Hassan
Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,
YB Cik Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Wakil-wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
YB Dato’ Seri Dr Jamaluddin Jarjis
YAB Dato’ Seri Dr Mohamad Tajol Rosli
YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Pegawai-pegawai Pergerakan
Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri
Sidang Perwakilan
Para hadirin sekalian
Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama sekali lagi bersidang di dewan penuh bersejarah ini, dalam suasana aman dan harmoni untuk sama-sama membincangkan agenda perjuangan parti, ke arah membela nasib masa depan anak bangsa di Negara tercinta ini.
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terus subur, segar dan relevan kepada orang Melayu. Bersyukur juga kerana Pergerakan Puteri UMNO yang dilancarkan pada 3 Ogos 2001 kini sudahpun berusia lima tahun. Tahun ini juga, genaplah dua tahun saya dengan sokongan padu semua barisan exco menerajui sayap bongsu dalam parti ini.
KEJAYAAN SEPANJANG 2006
Sepanjang tahun lepas sehinggalah tahun ini, banyak program yang telah Puteri gerakkan hingga ke akar umbi. Kita telah dan masih mengendalikan program-program serta rangka aktiviti sebagaimana direncanakan. Berkat ikhtiar dan kerja keras setiap ahli yang terlibat kita mampu melaksanakannya dengan berjaya. Disamping meneruskan program berteraskan pendidikan dan sosial, kita turut menumpukan usaha kepada masalah pengangguran di kalangan generasi muda dan ahli Puteri.
Antara program yang telah dijalankan untuk mengatasi masalah ini ialah Program Sijil Profesional Exekutif Korporat (PRO-Spek) dan Tunas Kerjaya. Kita turut menggerakkan program untuk menggalakkan ahli Puteri menjadi usahawan. Roadshow Pembangunan Usahawan yang dijalankan di seluruh negara berjaya menarik minat kelompok muda untuk mendekati bidang perniagaan. Kita bertekad bahawa dalam keadaan apa sekalipun usaha ini tidak akan sesekali terhenti di sini.
Sebagai penerus, satu program yang dipanggil ‘Mentor-Mentee Usahawan’ akan dilancarkan tidak lama lagi. Program ini merupakan satu pindahan idea dan teknologi, daripada usahawan yang telah terbukti berjaya kepada ahli-ahli Puteri yang baru memulakan perniagaan. Kita mengharapkan program ini dapat digunakan sebaiknya oleh ahli Puteri kelak.
Puteri juga sedar bahawa isu kepenggunaan cukup dekat dihati masyarakat. Penubuhan ‘Skuad Pengguna’ merupakan terjemahan kepada kesungguhan kita untuk memastikan hak-hak pengguna terus terbela. Selain itu, program bengkel Mekar ICT terus diperhebatkan lagi supaya pengetahuan berkaitan teknologi dan komunikasi tidak terhenti. Program berunsurkan kebudayaan seperti ‘Malam Puisi Tradisi’ turut mewarnai kemeriahan aktiviti Puteri.
Bagi tahun 2006, banyak ranjau dan duri telah kita tempohi bersama-masa ke arah menjayakan matlamat perjuangan parti. Ini juga untuk memantapkan lagi pergerakan ini. Saya gembira kerana semakin ramai generasi muda berminat menyertai UMNO dan keahlian Puteri telah berjaya kita tingkatkan sehingga 276,362 orang setakat ini. Ia adalah satu manifestasi kejayaan yang kita rintis bersama dalam menarik lebih ramai generasi muda untuk sama-sama berjuang dalam parti keramat ini.
Seperti juga tahun pertama saya mengambil alih kepemimpinan di dalam Puteri UMNO, kombinasi pelaksanaan program dan semangat sukarela, banyak membantu kita menjayakan setiap program. Saya bangga dengan semangat sukarela yang ditonjolkan ahli-ahli Puteri, sehingga dalam keadaan serba kekurangan, tanpa mengharapkan upah dan ganjaran, kita berjaya memaksimakan sumbangan kepada masyarakat. Ini kerana kita berpegang kepada prinsip bekerja untuk bangsa, agama dan negara, tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Ucapan tahniah dan rasa bangga saya kepada Exco pusat dan Ketua Puteri Negeri yang aktif dalam menggerakkan aktiviti biro dan program negeri masing-masing. Saya juga berterima kasih kepada ahli-ahli Puteri di segenap peringkat, di Pusat, Bahagian dan Cawangan. Kesemuanya tidak menang tangan, turun padang, bagi melaksanakan pelbagai program dari pendidikan hinggalah kepada kebajikan, ekonomi dan sosial, semuanya kita perjuangkan. Namun, kita perlu bersungguh-sungguh memastikan bahawa program-program ini terus hidup dan digerakkan.
Perwakilan yang dihormati sekalian,
Puteri UMNO berikrar untuk terus berdiri teguh di belakang kepemimpinan Presiden parti yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Puteri juga menyokong tindakan dan keputusan yang telah dipersetujui untuk kepentingan agama dan bangsa demi wawasan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.
Tentu kita masih ingat pesan Pak Lah yang ketika itu Timbalan Presiden Umno, pada Perhimpunan Agung Umno pada tahun 2003, supaya ‘kita belajar menjadi pengikut yang baik dan setia kepada pemimpin’.
Memetik kata-kata Pak Lah lagi ketika itu, “Belajar dan berusahalah menjadi pengikut yang baik dan setia kepada pemimpin, sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin yang baik kepada parti dan setia kepada perjuangan. Berkhidmat dan berusahalah menjadi pengikut yang baik dan setia. Berkhidmat dan berjasalah kepada parti dan ahli.”
Ungkapan ini juga penuh dengan maksud yang tersirat termasuk taat dan setia kepada seorang pemimpin. Ini juga bermaksud, Umno juga tidak perlu ada dua pemimpin untuk menerajui barisan kepemimpinannya.
Perhimpunan tahun ini amat singnifikan bagi Puteri Umno kerana ia adalah perhimpunan pertama sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Misi Nasional dilancarkan. Buat pertama kalinya rancangan lima tahun kita mempunyai teras yang khusus. Misi Nasional kita dirangka berlandaskan lima teras utama yang berpaut dengan falsafah pembangunan modal insan sebagai elemen ekonomi yang amat penting. 50% daripada 26.75 juta modal insan ini adalah terdiri daripada kaum hawa. Peranan kita terutama kelompok muda ini dalam proses pembangunan sosioekonomi adalah amat bernilai.
Di sini Puteri Umno berikrar memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri dalam menjayakan RMK-9 dan Misi Nasional ini. Kami berharap kepimpinan Negara dapat memastikan pengagihan projek dalam RMK-9 didiagihkan secara telus, tanpa memberi ruang kepada berlakunya sebarang ketirisan demi memastikan manfaatnya dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat, khususnya generasi Puteri.
Sesungguhnya, kita mahu supaya UMNO yang menjadi teras dan tunggak kepada bangsa Melayu ini terus berkuasa, kerana UMNO merupakan warisan dan pusaka paling berharga untuk generasi muda.
Kepada ahli-ahli Puteri, kita jadikanlah sejarah silam yang berlaku dalam Umno sebagai iktibar dan panduan. Dalam apa jua keadaan ahli Umno perlu bersatu, berdiri teguh di belakang pemimpin parti bagi memastikan Umno tetap menjadi parti dominan bagi orang Melayu.
ISU DAN CABARAN
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Kita kini berada dalam dunia berteraskan teknologi yang luar biasa pantasnya. Setiap apa yang berlaku di sekeliling kita merupakan campuran seribu satu cabaran, peluang dan masalah termasuk unsur buruk dan baik yang sentiasa cuba menyerap dalam diri setiap insan.
Cabaran golongan tertentu terhadap bangsa Melayu pun sudah sampai ke tahap serius dan ini berlaku bukan sekali-dua atau membabitkan sedikit perkara, malahan berkali-kali dan menyentuh beberapa isu sejak kita mencapai kemerdekaan. Sesungguhnya, Perlembagaan Negara melalui kontrak sosial bagi tujuan menuntut kemerdekaan, telah memberikan hak-hak tertentu mengikut kaum yang ada di negara ini.
Pendirian Puteri amat tegas dan jelas. Puteri berpendapat untuk menjayakan misi bangsa Melayu supaya terus mempertahankan kedaulatan dan hak Melayu dan orang Islam. Tidak ada jalan lain selain daripada memperkukuh perpaduan sesama kita. Dalam apa juga isu yang timbul orang Melayu mesti berdiri teguh di belakang kepemimpinan dan sebulat suara mempertahankan keputusan yang diambil secara sepakat.
Saya yakin dan percaya selagi orang Melayu cintakan bangsanya dan berani mempertahankan hak dan bersatu dalam memperjuang serta menyokong kepemimpinan negara, selagi itu tidak ada siapa pun yang dapat mengugat kita. Kita tidak mahu negara yang berdaulat ini porak peranda. Biarlah kita hidup berterusan dalam keadaan aman makmur serta sejahtera.
KESAKSAMAAN GENDER
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Alhamdulillah, sejak 25 Ogos yang lalu golongan hawa mampu menarik lafas lega dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sempena Hari Wanita, untuk menjamin kesejahteraan wanita yang bekerjaya. Kesaksamaan gender menjanjikan peluang sama rata antara lelaki dan wanita untuk menyumbang dan mengecapi manfaat daripada pembangunan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik, tanpa sebarang halangan atau batasan.
Hari ini semakin ramai kaum hawa keluar bekerja bagi membantu keluarga. Bukan kecil sumbangan kita, kita punyai peranan yang ‘multi-tasking’. Sebagai ibu muda, isteri, kakak, pekerja atau pelajar pada masa yang sama dan sering kali juga beperanan sebagai anak yang bertanggungjawab terhadap kebajikan ibu bapa, mahupun keluarga.
Hari ini, hampir 70 peratus pelajar pula di institut pengajian tinggi (IPT) adalah dikalangan perempuan. Kita juga mewakili separuh daripada penduduk Malaysia iaitu seramai 12.8 juta dan membentuk hampir 5.9 juta keluarga. Daripada jumlah itu, 63.1 peratus adalah dalam kumpulan umur bekerja yang berusia 15 hingga 64 tahun. Daripada jumlah itu juga, hampir 3.6 juta adalah bekerja dalam sektor awam, swasta, bekerja sendiri, sebagai majikan mahupun sebagai pekerja keluarga tanpa gaji.
Secara keseluruhan, kaum hawa membentuk hampir 36 peratus daripada tenaga kerja negara. Ini menggambarkan peratusan sumbangan kita kepada pembangunan ekonomi adalah besar nilainya. Dari segi pengundi seramai 52 peratus pengundi berdaftar di negara ini adalah perempuan.
Kita adalah pendokong yang menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Justeru langkah mengkaji undang-undang berkaitan bagi mengurangkan jurang perbezaan dari segi gender adalah wajar dan satu perkembangan baik.
Usaha ini bukan sesuatu yang baru kerana pada tahun 1969, persamaan dari segi bayaran gaji antara lelaki dan perempuan diluluskan. Apa juga undang-undang yang boleh menghalang atas sebab gender, perlu diperbaiki supaya kita boleh bersaing setanding lelaki. Dengan cara ini, sumbangan kaum hawa terhadap pembangunan dapat dimaksimakan.
Puteri menyarankan kerajaan menubuhkan segera panel khas mengkaji aspek perundangan berkaitan isu gender ini. Hak kita sebagai pekerja, ibu muda, isteri mahupun balu atau bekas isteri perlu dilindungi. Puteri juga mahu pembelaan wanita dalam sistem Perundangan Syar’iah diperukuhkan. Kes tertunggak berkaitan undang-undang keluarga Islam perlu dipercepatkan. Kes tuntutan nafkah, gantung tidak bertali atau pembahagian harta perlu disegerakan. Malah Puteri yakin isu harta sepencarian yang membabitkan pembahagian wang KWSP juga perlu dilihat dan dilaksanakan.
Kenaikan pangkat dan tangga gaji dalam jabatan kerajaan dan swasta perlu diberi pertimbangan yang saksama antara lelaki dan perempuan. Kita tidak mahu sekadar berperanan sebagai eksekutif biasa, tetapi kita juga mahu wanita diyakini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurus Syarikat.
Kita bertuah, kerana mempunyai tokoh wanita yang memecah dominasi kaum lelaki. Melihat kepada Noriyah Md Anvar, Senior Assistance Komisioner Trafik, Tan Sri Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara, Datuk Rafiah Salim dan Dato’ Dr. Sharifah Hapsah, selaku Naib Canselor dua universiti terkemuka negara. Sebarang undang-undang yang dibuat atau diperbaharui perlu dikuatkuasakan supaya dapat mencapai matlamat yang diharapkan. Namun kita tetap bersyukur sejak Pak Lah mengambil alih teraju kepimpinan negara, kaum hawa semakin mendapat tempat pada kedudukan yang tinggi.
MASALAH SOSIAL
Isu mengambil kesempatan keatas anak gadis Melayu menerusi filem, iklan dan laman web, bukan cerita baru. Setelah sekian lama ia diperkatakan, ia masih juga berlaku, malah kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi, menyebabkan gambar-gambar porno wanita muda termasuk wanita Melayu, semakin berleluasa disebarkan menerusi laman web.
Terkini ada pula filem-filem Melayu yang semakin berani dedah sana dedah sini, Penerbit gemar memaparkan wanita Melayu yang cuma berkemban. Lakonan keterlaluan suami isteri Melayu di atas ranjang yang melanggar batas susila kesopanan budaya ketimuran juga menghiasi kebanyakan drama dan filem. Siri drama asing dengan terjemahan sari kata Melayu banyak yang boleh memesongkan akidah. Malah seolah-olah drama itu adalah drama Melayu kerana apa bezanya wajah dan persekitaran kita dengan masyarakat Filipina, Indonesia atau Thailand.
Kerajaan harus membendung gejala ketagihan siri drama yang memesongkan akidah atau mencetuskan idea baru kepada kita untuk berkelakuan curang, melakukan seks bebas dan kerosakan norma dan sosial lain seperti dipaparkan dalam drama bersiri bahasa Latin itu.
Terlepas pandangkah mereka yang diamanahkan ke atas perkara ini?
Puteri mendesak supaya tindakan tegas diambil agar isu ‘terdedah dan memesongkan’ ini ditangani secara serius. Puteri bukannya berseloka demi menjaga maruah dan budaya Melayu. Tambahan pula negara kita sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan pendekatan Islam Hadhari.
Begitu juga tindakan sebuah akhbar mingguan bahasa Inggeris pada 4 November lalu, yang tanpa segan silu membincangkan secara terbuka amalan seks di kalangan rakyat Malaysia menerusi artikel bertajuk “Let’s Talk About Sex” Puteri amat kesal dengan tindakan ‘keterlaluan’ akhbar terbabit yang langsung tidak memikirkan sensitiviti masyarakat kita yang kaya dengan nilai ketimuran.
Puteri berpendapat penyiaran artikel seperti itu boleh menyumbang ke arah peningkatan ransangan seks dan gejala sosial di kalangan remaja. Puteri kesal kerana dalam mengejar keuntungan, ada media yang sanggup mengorbankan kepentingan awam. Kita harap pihak media tidak sewenang-wenangnya menyalahguna unsur seks secara keterlaluan kerana isu sensitif seperti itu tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka, hanya semata-mata kerana mahu mengaut keuntungan.
Puteri juga sedar akan kebimbangan masyarakat terhadap gejala maksiat dan keruntuhan moral di kalangan generasi muda. Fakta daripada pihak polis menunjukkan, 99 peratus yang terlibat dengan kegiatan lumba haram adalah remaja Melayu lelaki. Tidak sekadar dengan nasihat dan penguatkuasaan undang-undang, cara yang lebih lembut turut dilakukan untuk mengajak mereka kembali ke pangkal jalan.
Yang menyedihkan, laporan mengenai kegiatan ini semakin banyak terpampang di media cetak dan elektronik. Mereka semakin berani tak bertempat, bertindak ganas dan liar di jalan raya. Yang mengharukan lagi gejala ini turut mengheret kelompok remaja wanita. Mereka mempertaruh anak gadis sebagai umpan dan habuan kegiatan tidak bermoral yang seumpama ini.
Pendekatan lebih tegas mesti dikenakan terhadap generasi muda yang bermasalah ini. Puteri menyarankan supaya digubal atau dipinda mana-mana undang-undang sedia ada supaya pesalah ini dihukum sebat, denda atau hukuman penjara mandatory perlu dipertimbangkan agar gejala ini dapat dibanteras. Tindakan mereka ini merupakan satu jenayah yang mengancam keselamatan dan nyawa orang lain.
Mereka ini turut terlibat dengan gejala dadah, pil khayal, syabu dan sebagainya. Mengikut statistik Januari hingga September 2006, jumlah anak muda lelaki yang terlibat dengan penagihan dadah seramai 9619 orang, manakala perempuan seramai 245 orang. Ini yang kita takutkan. Bayangkanlah, jumlah penagih lelaki yang hempir mencecah 10,000 orang ini pasti mempunyai kaitan dengan kaum perempuan. Antara mereka ini pastinya seorang suami, anak, abang, adik, kekasih, tunang dan lain-lain lagi. Apalah agaknya nasib kaum hawa yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka ini? Pasti tempias kejahatan ini terkena juga kepada kaum hawa.
Selain itu, pada hari ini kita dapat menyaksikan penyebaran fitnah serta berita palsu berlaku begitu pantas dan merebak keserata Negara dalam sekelip mata. Khidmat pesanan ringkas atau SMS yang sepatutnya menjadi medium penghubung positif digunakan secara salah.
Bayangkan hanya dengan sebaris dua ayat yang dihantar, berita fitnah ini mampu menghuru-harakan negara. Telefon bimbit yang dilengkapi dengan perisian canggih serta kemudahan kamera turut disalahgunakan untuk menyebar dan merakam adegan lucah juga ganas. Oleh itu, tindakan bijak kerajaan mewajibkan pendaftaran semua pengguna talian telefon bimbit amat bertepatan.
Dalam permasalahan ini Puteri percaya bahawa kita perlu berbalik kepada pegangan agama. Memang sudah tiba masanya untuk kita benar-benar memaksimakan fungsi dan peranan setiap elemen keagamaan. Sebagai contoh, kita boleh mengangkat peranan masjid yang digambarkan secara simboliknya sebagai tunjang kekuatan ummah sebagaimana yang dilakukan sewaktu zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu.
Alangkah lebih baik seandainya masjid indah dan canggih yang didirikan dengan belanja jutaan ringgit dimantapkan pentadbirannya. Jawatankuasa masjid mesti diperluaskan bukan sekadar dikalangan ahli agama bahkan penglibatan professional mtermasuk jemaah wanita sebagai badan pemikir setempat bagi qariah yang terlibat. Ini mesti diwujudkan supaya masyarakat mendapat manfaat melaluinya. Masjid sebagai ‘one stop centre’ yang bukan sahaja tempat bersolat, tetapi mempunyai khutub khanah, makmal komputer, bilik ceramah, ruang berpersatuan, beriadah dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.
Melalui cara ini kita percaya generasi muda akan kembali mendekati Masjid, kerana masjid benar-benar hidup dalam memberikan nilai tarikan melalui aktiviti terarah yang bersifat segar.
EKONOMI
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Dasar Ekonomi Baru (DEB) belum mencapai matlamatnya dan setelah sekian lama, usaha untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) juga masih tidak berjaya. Walaubagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tidak berdiam diri. Dasar dan pelaksanaan yang dilakukan selama ini adalah tepat dan amat baik dalam memastikan perjalanan orang Melayu mencapai matlamat ekonomi terlaksana.
Hari ini, setidak-tidaknya telah wujud di kalangan orang Melayu yang menceburkan diri dalam bidang perdagangan dan perindustrian negara. Sudah ada orang Melayu yang menguasai syarikat korporat dan juga budaya niaga telah mula menjadi minat dikalangan masyarakat Melayu.
Puteri menggesa beberapa langkah harus dimainkan oleh kerajaan dan juga orang Melayu sendiri bagi mencapai hasrat meningkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti wanita Bumiputera bagi jawatan pengurusan dan professional dalam syarikat-syarikat di negara ini.
Di sini Puteri ingin menggesa supaya peluang mendapatkan tender dan permit berkenaan turut diberikan kepada golongan usahawan berusia Puteri. Ini selari dengan hasrat pucuk pimpinan negara untuk menjadikan sektor pertanian sebagai tonggak ketiga pertumbuhan ekonomi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sewajarnya ahli-ahli Puteri, usahawan wanita muda turut sama-sama merebut peluang ini.
Puteri yakin dengan menggunakan teknologi, peningkatan R&D dan inovasi serta potensi dalam bidang bioteknologi, sektor pertanian akan menjadi salah satu penyumbang utama ekonomi negara.
Di bidang ekonomi juga menyaksikan betapa sukarnya Bumiputera yang terbabit dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mendapatkan pinjaman. Sikap ‘pilih bulu’ dan ‘ikut jalan pintas’ masih berlaku. Ramai usahawan wanita muda kita mengadu mengenai sukarnya mendapatkan pinjaman, apa lagi jika tidak kenal ‘orang dalam’ atau tidak ada hubungan dengan ‘orang besar’.
Mengikut perangkaan, daripada RM750 bilion pinjaman dalam negara, 29 peratus adalah UNTUK Bumiputera dan daripada RM102 bilion pinjaman untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS), 80 peratus adalah untuk BUKAN Bumiputera. Walaupun Bank SME memberikan 80 peratus untuk Bumiputera, jumlah portfolio Bank SME hanyalah RM2.4 bilion sahaja, terlalu kecil berbanding apa yang sudah dinikmati oleh BUKAN Bumiputera.
Di sini juga Puteri mendesak supaya bank-bank yang menyediakan pinjaman untuk IKS seharusnya lebih bersikap fleksibel dalam membantu orang Melayu dan bumiputera yang baru hendak memulakan perniagaan.
Syarikat swasta juga harus memainkan peranan dan memikul tanggungjawab sosial bagi membangunkan kemudahan-kemudahan perlu, untuk memajukan peniaga Bumiputera yang masih merangkak dan baru hendak memulakan perniagaan mereka.
Kesukaran mendapatkan bantuan kewangan dikatakan sebagai faktor utama yang menghalang perkembangan IKS. Tempoh proses pinjaman yang terlalu panjang juga merupakan faktor penyumbang kepada kepayahan usahawan wanita muda kita.
Justeru, Puteri menyokong penuh keputusan Presiden Parti yang telah menyalurkan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi mengembangkan ekonomi negara. Cuma kita harap pengagihannya dibuat secara telus, tanpa mengira jantina mahupun usia. Kita mendesak supaya usahawan wanita muda berusia bawah 40 tahun, juga turut dibantu.
PENDIDIKAN
Puteri percaya pembentukan pendidikan anak-anak harus bermula seawal usia. Namun, pendidikan pra sekolah adalah wadah pertama mendedahkan anak-anak kita kepada ilmu pengetahuan secara formal. Bagi menterjemahkan kesungguhan ini Program Gerak Asuh Puteri (GAP) telah disempurnakan.
Kejayaan ini disusuli dengan berita gembira pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri bahawa kerajaan memperuntukkan RM20 juta dalam melaksanakan Program Penjagaan Awal Kanak-kanak atau Majlis Permata Negara. Ini adalah selaras dengan hasrat yang Puteri bawakan pada perhimpunan agung yang lepas supaya pendidikan anak-anak kecil ini dititik beratkan.
Puteri menyambut baik keputusan ini sebagai satu usaha merangsang minda dan kreativiti anak-anak sedari kecil. Puteri berharap agar pilot projek yang dimulakan di Kepala Batas, Mempaga, Chini dan Subang Jaya ini dapat diperluaskan ke seluruh negara. Dalam hal ini, Puteri yang berada di seluruh negara bersedia memberi khidmat dan membantu menjayakan program ini.
Menyentuh mengenai isu pengajian tinggi, silibus pengajaran dan pembelajaran institusi pengajian tinggi (IPT) sekarang haruslah menjurus kepada melahirkan graduan yang mampu bersaing di pasaran, cekap serta cemerlang.
Sikap menambah nilai diri harus diterapkan dalam diri orang Melayu supaya kita menjadi manusia yang ‘multi-skill’, mengetahui banyak perkara. Dengan kata lain kita akan menjadi lebih yakin dan berani serta mampu bersaing di pasaran dengan nilai tambah yang ada pada diri. Orang Melayu perlu diingatkan bahawa dalam sistem Meritokrasi ini tiada lagi istilah zon selesa atau bermalas-malasan.
Suruhan kebangkitan harus ditiupkan supaya orang Melayu bingkas bangun dari lena perlindungan, bergerak mencari ilmu, kecekapan dan ketrampilan, agar terus bernafas berada dalam zaman meritokrasi sejagat.
Inilah modal insan yang harus menjadi teras dalam pendidikan negara. Elemen keagamaan mesti diperakui sebagai tunjang dalam menerapkan nilai dalam pendidikan. Kita tidak mahu gejala murtad sebagai mana yang digembar- gemburkan menjadi satu kebenaran dan lebih parah suatu hari nanti.
Pengajaran di institusi pendidikan kita mesti memasukkan unsur pembentukan akidah agar manusia yang dilahirkan memiliki nilai integriti yang tinggi. Di samping itu, sistem pendidikan harus memberi penekanan kepada keseluruhan hidup dengan memberi bukti dan panduan, untuk apa, bila patut diguna, kenapa perlu tahu serta impak negatif dan positif yang terhasil supaya lepasan sekolah dan IPT benar-benar bersedia berdepan dengan cabaran kehidupan.
Pembentukan nilai-nilai mulia yang dimulakan sejak di bangku pra sekolah lagi wajar dipergiatkan melalui aktiviti tambahan di luar bilik darjah. Semangat kesukarelawan, berkhidmat tanpa mengharap balasan duniawi, sanggup berkorban, beretika dan memiliki personaliti unggul mesti menjadi elemen dalam diri para pelajar. Kemahiran dan nilai integriti wajar menjadi asas kepada modal insan ini untuk berjaya sekaligus membina menara bangsa.
Mengikut statistik, jumlah pengeluaran graduan dari Institusi Pengajian Tinggi pada tahun 2004 seramai 228,352 orang. Manakala pada tahun 2005 pula seramai 166,442 orang. Jumlah yang agak besar ini sedikit sebanyak menghambat kita dengan masalah pengangguran dikalangan siswazah. Seramai 31,000 mahasiswa kita yang masih menganggur dikatakan gagal berkomunikasi dengan baik, tidak memiliki kemahiran insaniah, terlalu memilih pekerjaan serta gagal memenangi hati majikan.
Graduan, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang dikatakan paling ramai menganggur sewajarnya diberikan orientasi tambahan. Masakan tidak, silibus semester pertama mereka mungkin sudah tidak relevan dengan kepesatanluar biasa kemajuan IT sejurus bergraduan tiga empat tahun selepas itu.
Justeru, Puteri menggesa agar mereka ini di berikan orientasi tambahan selama enam bulan bagi memastikan mereka memiliki ilmu yang terkini dan menepati kehendak pasaran pada waktu itu. Syarikat-syarikat swasta terkemuka negara juga seperti Maxis, Astro, YTL digesa untuk memainkan peranan yang lebih jujur dengan mengambil graduan-graduan ini untuk diberi orientasi tersebut. Ini juga adalah komitmen syarikat multinasional untuk menggalas tanggungjawab sosial bagi membantu graduan di Negara ini.
Kerjasama juga bukan hanya bertumpu dengan Pergerakan Puteri semata-mata tetapi boleh dilaksanakan dengan badan-badan serta agensi lain agar matlamat membantu modal insan negara ini terlaksana secara menyeluruh.
KESIHATAN
Para Perwakilan Sekalian,
Dalam tempoh setahun ini, perkara yang cukup memilukan ialah apabila kita kehilangan dua pemimpin Puteri yang menderita akibat penyakit kronik. Allahyarhamah Ketua Puteri Setiu dan pemangku Ketua Puteri Bagan Dato telah pulang ke Rahmatullah kerana diserang Lukemia dan Kanser.
Setelah berbulan-bulan bertarung dengan penyakit ini, akhirnya Allah lebih menyayangi mereka. Saya juga mengambil kesempatan ini mewakili kesemua ahli-ahli Puteri untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada keluarga Allahyarhamah yang telah sudi ‘meminjamkan’ insan mulia ini untuk berbakti demi parti, agama, bangsa dan negara. Kita panjatkan doa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan semangat perjuangan mereka tetap bersama-sama kita. Marilah kita bersama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.
Kajian menunjukkan barah payu dara ialah penyakit paling biasa di kalangan kaum hawa. Kanser payu dara kini turut melanda golongan muda dan jumlahnya semakin meningkat. Daftar Kanser Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 1993 hingga 2004 mendapati 16.8 peratus pesakit kanser berumur di bawah 40 tahun dan dua peratus lagi kurang daripada 30 tahun, manakala 50 peratus dalam lingkungan 40 ke 49 tahun.
Daftar Kanser Kebangsaan 2003 juga melaporkan 3,738 kes barah payu dara dicatat dengan 46.2 kes setiap 100,000. Kadar kematian tertinggi akibat kanser payu dara dicatatkan di kalangan pesakit Melayu.
Statistik PPUM menunjukkan kadar keterusan hidup bagi pesakit perempuan Melayu paling rendah iaitu kira-kira 46 peratus berbanding bangsa-bangsa lain. Masalah ini berlaku kerana kebanyakan orang Melayu datang mendapatkan rawatan pada peringkat lewat iaitu apabila kanser sudah memasuki tahap keempat berbanding kaum lain yang mendapatkan rawatan awal.
Kurang berkemampuan adalah antara punca yang membataskan sebahagian kaum perempuan Melayu mendapatkan rawatan awal. Sehubungan itu, Puteri menyambut baik keputusan kerajaan yang akan menyenaraikan hospital dan klinik swasta yang menawarkan subsidi RM50 untuk ujian saringan mamografi bagi mengesan kanser payu dara.
Langkah ini diharap dapat meringankan beban pesakit terbabit yang sebelum ini terpaksa membayar sehingga RM200, selain meningkatkan kesedaran kita mengenai kepentingan ujian mamografi dalam mengesan kanser, sekaligus membolehkan rawatan awal dilakukan.
Puteri juga berterima kasih kepada YAB Presiden Parti diatas pembentukan Institut Kanser Kebangsaan untuk tujuan saringan kanser, perawatan,pemulihan, penyelidikan dan melatih pakar kanser.
Justeru, Puteri berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk membina lebih banyak pusat seumpama itu mengikut zon seperti di Zon Utara, Selatan, Timur, Tengah, Sabah/Sarawak untuk kebaikan jangka masa panjang. Penglibatan sektor swasta dalam menjayakan perkara ini juga sangat dialu-alukan.
Penubuhan Pusat kanser disetiap Zon sangat penting bagi memudahkan pesakit-pesakit ini khususnya kaum hawa untuk menerima rawatan tanpa perlu melalui perjalanan yang jauh dan menyakitkan. Kita juga memohon agar pilihan kepada lebih banyak saluran perubatan yang berkualiti dibangunkan agar seluruh masyarakat mendapat manfaatnya.
Puteri sedar bahawa kos pembinaan pusat seperti ini sangat tinggi, tetapi memandangkan keperluannya sangat signifikan, ianya boleh dilaksanakan secara berperingkat. Namun yang demikian, dalam jangka waktu yang terdekat Puteri UMNO akan menganjurkan kempen kesedaran pengesanan awal barah payu dara dengan kerjasama National Cancer Society of Malaysia.
Saya juga menyeru kepada wanita Melayu muda untuk mengambil langkah pre-emptive secara individu dan sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan.
GLOBAL
Kita harus sentiasa mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku dalam politik antarabangsa dan politik dunia. Terkini yang berlaku di Amerika Syarikat (AS). Parti Demokrat menguasai Dewan Perwakilan Amerika Syarikat apabila menang 228 daripada 435 kerusi, manakala dua calon bebas pro-Demokrat memberi kelebihan untuk parti itu mengatasi Republikan.
Kejayaan parti Demokrat menguasai Dewan Perwakilan AS adalah mesej penting pengundi dan rakyat negara itu terhadap Persiden George W Bush. Ia satu isyarat bahawa alasan memerangi keganasan yang sering dilaungkan oleh AS khususnya George W Bush dalam melancarkan serangan terhadap negara luar, tidak lagi diterima oleh rakyatnya sendiri.
Namun, Puteri melihat kebanyakan konflik dan perang di seluruh dunia ada kaitan dengan kelemahan dan perpecahan sesuatu bangsa. Peperangan sememangnya sengaja dicetuskan di sesebuah negara untuk sesuatu kepentingan ekonomi, politik dan survival di sebuah negara lain.
Apa saja matlamat sesuatu dasar luar, tindakan dan peperangan kini mula cenderung kepada kelangsungan hidup sekelompok manusia dan keteguhan sesebuah negara. Masa depan adalah survival. Survival dikaitkan dengan pelbagai pelan dan tindakan strategik termasuk pertahanan, tenaga, maklumat, teknologi serta pengeluaran makanan.
Justeru, hari ini Puteri menyarankan kerajaan menubuhkan satu jabatan bagi memantau isu, perkembangan dan pencetusan idea baru berkaitan survival dan strategik untuk disalurkan kepada kerajaan dalam menggubal dasarnya supaya survival bangsa dan negara dapat diteruskan.
Kita tidak boleh mengeketepikan isu strategik dalam kehidupan dunia tanpa sempadan ini. Globalisasi mampu meranapkan bangsa dan sosioekonomi kita. Tanpa mengetahui apakah bentuk strategik dan ancaman survival pihak lain maka bagaimana kita mampu menangani masalah itu bila kita berhadapan dengannya.
Justeru, apa juga dasar negara mulai sekarang harus ada eleman survival atau kepentingan masa depan nusa dan bangsa. Pengurusan maklumat perlu dimantapkan. Teknologi pertanian dan tenaga perlu dipertingkat serta diperbaharui untuk menghasilkan keperluan dalam negara. Bajet pertahanan juga perlu dikaitkan dengan isu strategik serantau. Pertahanan bukan sekadar pertahanan tetapi kemampuan memberi reaksi balas.
Isu strategik dan input antarabangsa tidak boleh disandarkan kepada institusi bebas. Ia mesti dihasilkan oleh kerajaan untuk kegunaan kerajaan. Tenaga kerja di luar fakulti univerisiti diperlukan. Puteri menyarankan, segerakanlah menubuhkan Jabatan Strategik Antarabangsa demi survival kita pada masa depan.
Pada masa sama, menginsafi nasib masyarakat di Negara Islam yang lain, kita di Malaysia harus bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi. Kita bersyukur kerana negara berada di bawah kepemimpinan yang rasional lagi bertanggungjawab. Bersyukur kerana memiliki kepemimpinan berjiwa rakyat, sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara sekali gus mampu menempuh segala rintangan dalam hubungan mahupun krisis antarabangsa. Kita juga terus menyumbang kepada usaha memulihkan keamanan tajaan PBB.
Kebijaksanaan pemimpin Melayu berjaya meletakkan UMNO sebagai parti paling dihormati dan berwibawa serta paling mendapat penerimaan dalam sistem politik dan sistem demokrasi di negara ini. Justeru, kita selaku generasi muda dalam parti perlu sama-sama terus mempertahankan perpaduan dan menjayakan agenda kerajaan demi memajukan agama, bangsa dan negara.
Para perwakilan sekalian,
UMNO juga telah memutuskan bahawa perhimpunan parti akan datang yang akan menyaksikan pemilihan dalam parti hanya akan diadakan selepas pilihan raya umum. Di sini saya ingin mengajak semua ahli Puteri supaya sama-sama memberi tumpuan kepada persiapan menjelang pilihan raya umum dan mengenepikan dulu soal pemilihan.
Keutamaan kita sekarang ialah untuk memastikan kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum yang lalu diulangi sekali lagi, malah kita mahu mencatat kejayaan lebih gemilang. Kita perlu terus melipat-gandakan usaha dari sekarang untuk memenangi hati pengundi dan Insya-Allah Kelantan pun akan kita tawan pada pilihan raya umum akan datang.
Tunjukkanlah usaha dan kesungguhan kita. Seluruh negara berharap kepada kita. Mereka melihat Puteri sebagai simbol kepada keriangan, keikhlasan, tidak merungut dan rajin bekerja.
Ingatlah bahawa parti yang kita warisi ini adalah harta pusaka paling bernilai yang perlu kita jaga agar bangsa kita terus berkuasa. Kepada ahli-ahli Puteri saya yang akan meninggalkan pergerakan ini kerana faktor usia, teruskan segala semangat juang yang tumbuh ketika berada di tapak semaian ini. Jangan matikan semangat kita, teruskan perjuangan dan keinginan untuk berjasa dan menyumbang kepada parti. Kekalkan jaringan kita, jangan lupa membantu ahli Puteri yang ada.
Akhir kata, marilah sama-sama kita menjadikan perhimpunan agung kali ini sebagai satu wadah untuk menyemarakkan lagi perpaduan di kalangan kita.
Ingatlah bahawa Puteri UMNO adalah “Penggerak ke Arah Membina Generasi Muda Terbilang”. Sama-samalah kita memastikan bahawa kedudukan dan jawatan yang Allah pinjamkan kepada kita, tidak disalahgunakan, Insya-Allah.
Dengan doa supaya Puteri UMNO terus berwibawa dan meneruskan perjuangan parti, saya akhiri dengan Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Comments »
The URI to TrackBack this entry is: http://shenyeeaun.blogsome.com/2006/11/17/wawasan-generasi-bestari-datuk-noraini-ahmad-ketua/trackback/
No comments yet.
RSS feed for comments on this post.
Leave a comment
Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>


