Dahulu, kini dan selamanya...
"KESALAHAN DIMUSNAHKAN" "KEZALIMAN DIHAPUSKAN" "KEHINAAN DIHANCURKAN" "KEADILAN DITEGAKKAN" "KEBENARAN DIPERJUANGKAN" "KEBAIKAN DIUTAMAKAN" "KEPIMPINAN DITERUSKAN"... Teruskan kepercayaan kalian pada SHEN YEE AUN, selagi hayat dikandung badan, selagi itulah perjuanganya belum tamat! Ia akan bangkit dari lena kealpaan, bangun bersama sengenggam harapan, berdiri dengan penuh kemegahan, berjuang dengan penuh keyakinan dan mati bersama keadilan yang dipaksikan!


Please also visit my new blog in shenyeeaun.disagrees.net

November 20, 2007

Kedatangan bulan Sya’aban kali ini agak meriah dengan peristiwa samada baik atau buruk, suka atau duka, gembira atau sedih khususnya kepada dunia Islam. Dunia Islam menyaksikan bumi Iraq yang baru dijajah terus diselubungi jutaan masalah manakala bumi Palestin terus bermandi darah. Tekanan terhadap negara umat Islam yang lain turut bertambah termasuk bermulanya pemeriksaan senjata di Iran serta usaha dalam menumbangkan kerajaan yang sedia ada atas alasan rakyat Iran mahu kepada demokrasi ditambah dengan serangan ke atas Syria dan Lubnan oleh rejim yahudi dan tidak ketinggalan dengan masalah negara kita yang terpaksa berdepan dengan anak buah yahudi ASEAN iaitu Singapura yang meneruskan agenda pembangunan mereka yang mampu menggugat dan memberi kesan kepada negara ini terutama dalam kes penambakan laut. Malangnya jika pemimpin negara hanya tahu menjerit meminta tolong bagaikan orang kampung yang tiada kuasa sedangkan tampuk pemerintahan berada di bawah amanah dan tanggungjawab mereka. Kita bukan mahu bermusuh sebaliknya sentiasa berusaha dalam merapatkan lagi hubungan yang sedia ada tetapi mesti tegas jika hak kita cuba dicerobohi sesuka hati samada disebabkan kelalaian pemimpin atau keangkuhan negara jiran. Cubalah renungi sejarah penjajahan Palestin oleh rejim zionis yahudi yang bukan sahaja menyaksikan keangkuhan dalam menjajah telah menyebabkan banyak nyawa menjadi korban malah sejengkal demi sejengkal bumi Palestin dijajah sehingga kedudukan Masjid Aqsa terus terancam. Akhirnya penduduk Islam tempatan menjadi pelarian dalam negara mereka sendiri. Di manakah silapnya jika bukan dari sikap tidak tegas dan mudah lupa dengan perancangan jahat musuh yang penuh teliti dan kurang disedari.

  Umat Islam tersepit di mana sahaja mereka berada terutama bagi mereka yang benar-benar ikhlas berjuang dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Gelaran sebagai pengganas dengan pelbagai tekanan yang terpaksa dihadapi bukan setakat dari musuh Islam yang nyata iaitu kuffar durjana malah pemimpin yang beragama Islam turut menggelarkan saudara seagama dan rakyat mereka sendiri sebagai pengganas sehingga ramai dipenjara dan tidak kurang yang dibunuh. Adakah musuh Allah akan berhenti melabelkan umat Islam sebagai pengganas yang merbahaya jika pemimpin umat Islam berjaya menghapuskan seluruh pejuang Islam dan memerangi pengajian agama serta pusat pengajian agama tanpa segan silu dan rasa bersalah kepada Allah. Sekurangnya malulah kepada penganut agama Budha dan Hindu di mana mereka tidak menyuruh agar ditutupkan tempat pengajian untuk melahirkan sami  walau pun mereka tahu bahawa sami ini secara umumnya memang tidak akan banyak lagi menyentuh tentang kemewahan dunia dan pembangunan. Janji manis kuffar tidak lebih daripada janji manis iblis yang menyebabkan nabi Adam dan Siti Hawa dikeluarkan daripada Syurga oleh Allah akibat memakan khuldi larangan. Sepatutnya seluruh umat Islam bermula daripada pemimpin sehinggalah rakyat jelata bersatu hati dalam memulihkan kepercayaan dunia terhadap Islam bukannya mengeruhkan lagi suasana dalam memburukkan imej Islam yang suci murni. Pengurangan pengajian agama terutama pemimpin sanggup tunduk kepada telunjuk Amerika dalam membuangkan sukatan pengajian agama terutama bab jihad bukanlah suatu penyelesaian masalah sebaliknya ia akan menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Jika masalah jihad tidak lagi dipelajari menyebabkan umat Islam buta mengenainya yang menyebabkan mereka akan bertindak sesuka hati bukan berdasarkan jihad yang dikehendaki oleh Islam. Ingatlah kita bahawa manusia yang ditindas dan dizalimi akan bertindak balas mengikut kemampuan yang ada dan jika jihad tidak dipelajari akan menyebabkan mereka bertindak mengikut nafsu bukan lagi wahyu. Keganasan yang berlaku bukanlah disebabkan masalah jihad ada dalam Islam sebaliknya akibat kejahilan tentangnya ditambah lagi dengan tekanan musuh Islam yang semakin kuat terhadap Islam yang memerlukan umat Islam untuk mempertahankan diri daripada sebarang pencerobohan. Malangnya dengan ruang untuk menjelaskan setiap kekeliruan yang ditimbulkan agak terbatas telah menyebabkan tohmahan kuffar tidak dapat dijawab sepenuhnya kepada masyarakat dunia. 

   Menyedari bahawa dunia Islam hari tidak sunyi daripada masalah malah ia sentiasa bertambah bukannya semakin kurang akibat kesalahan dan kesilapan umat Islam sendiri yang meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh dari segi ilmu dan sikap atau tindakan sebagai mengamalkan ilmu yang dipelajari. Semoga berlangsungnya sidang kemuncak OIC di Putrajaya dapat mengubah banyak peranan yang sepatutnya dimainkan bukan setakat bercakap, memilih ketua baru dan kemudian lesu kerana takut kepada musuh Islam dan sibuk dengan masalah peribadi. Kembalikan pengamalan seluruh sistem Islam dengan semua negara umat Islam kembali kepada aqidah Islam bukannya terus berpecah dengan dasar sekulerisme, komunisme, sosialisme dan isme yang lain. Selagi Islam tidak menjadi cara hidup maka perpaduan yang dilaungkan tidak ke mana malah penderitaan umat Islam terus berpanjangan dan silih berganti bagaikan tiada henti. Jangan biarkan musuh sentiasa tertawa melihat OIC bersidang kerana hebat pada persiapan tetapi lembab dalam mengambil tindakan seolah-olah sesuai dengan namanya yang di baca Oh I See setakat melihat bukan bertindak. Tidak usah gembira kerana bertukar pengerusi baru jika ianya hanya berubah orang tetapi tidak berubah sikap sebagaimana berlaku kepada kesatuan negara berkecuali NAM di mana nama NAM ikut bahasa arab bererti tidurlah oleh engkau. Musuh Islam bukan gerun dan hormat dengan cakap tetapi takut bila umat Islam benar-benar bertindak. Kita begitu kecewa bila suatu persidangan yang memakan belanja yang begitu besar hanya membazir sedangkan hasilnya tiada malah jika wang yang digunakan itu diberikan kepada saudara tertindas maka ia lebih jauh bermanfaat. Suatu persidangan yang dibuat bukan untuk menjual nama dan mencari glamour tetapi bertujuan untuk menyelesaikan masalah umat Islam. Jangan pemimpin seronok bersidang dalam ruang berhawa dingin sedangkan ramai umat Islam yang terus menderita kebuluran dan menjadi mangsa penindasan kepada pemimpin yang hebat bercakap dan dalam masa yang sama rakus dalam bertindak menindas rakyat. Semoga peranan OIC dapat berjalan sebagaimana diharapkan dan ia terus relevan bukannya ketinggalan zaman.

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://shenyeeaun.blogsome.com/2007/11/20/debat-10/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>